Sunday, February 20, 2011

Booster Towards A+ Bio Programme

Bengkel Kecemerlangan Biologi 2011 telah diadakan pada hari Sabtu, 12 Februari 2011 bertempat di Dewan Gemala Puteri, SM Sains Seri Puteri Kuala Lumpur. Bengkel ini telah diadakan selama satu hari bermula jam 8.00 pagi sehingga jam 10.30 malam. Bengkel yang diberi nama ‘Booster Towards A+ Biology Programme’ ini telah dihadiri oleh 215 pelajar tingkatan 5 dan telah diuruskan oleh guru-guru Biologi SM Sains Seri Puteri. Seramai 3 orang guru Biologi telah mengisi slot bengkel tersebut dan mengendalikan ceramah berkenaan topik-topik yang telah dibahagikan mengikut jadual seperti berikut:-

· Pn. Noor Arifah binti Moider – Bab 2, 3 dan 4 (Kertas 1 & 2)

· Pn. Siti Fatimah Noor bt Abd Mubin - Bab 5,6,7,8 (Kertas 1&2)

- Soalan 2 (Kertas 3)

· Pn. Mahadiah binti Muda - Bab 9 (Kertas 1&2)

- Soalan 1 (Kertas 3)

Bengkel ini bertujuan untuk membantu pelajar melakukan ulangkaji secara komprehensif dan optimum untuk Peperiksaan Intervensi 2011. Melalui program ini para pelajar seharusnya dapat mengukuhkan lagi pemahaman mereka berkenaan topik-topik tingkatan 4. Selain itu, objektif penting Panel Panitia Biologi adalah untuk memberikan pendedahan berkenaan bentuk-bentuk soalan yang lazim keluar dalam peperiksaan sebenar. Dengan cara itu, para pelajar diharap mendapat input yang total dan ekslusif untuk persediaan mereka berdepan dengan apa jua peperiksaan yang bakal mendatang. Di samping itu juga, Panel Panitia Biologi dapat memberi suntikan semangat kepada para pelajar untuk mereka terus bekerja keras mendapatkan markah cemerlang bagi matapelajaran Biologi.

Para pelajar telah berkumpul di Dewan Gemala Puteri seawal jam 7.00 pagi. Persediaan dari segi teknikal telah dilakukan oleh pengawas yang bertugas bagi menyediakan mikrofon dan Dyna scan yang berfungsi dengan baik. Bengkel ini terbahagi kepada 3 slot. Slot 1 untuk penerangan kertas 1 dan 2, slot 2 untuk penerangan kertas 3 dan slot 3 untuk teknik menjawab soalan dan sesi penilaian.

Tepat jam 8.00 pagi, slot 1 telah dimulakan oleh Pn. Noor Arifah binti Moider. Berdasarkan modul yang diberikan kepada pelajar dan buku teks Biologi, beliau telah menerangkan subtajuk-subtajuk penting dan bentuk soalan yang sering ditanya dalam peperiksaan sebenar. Slot bersama Pn. Noor Arifah telah berlangsung sehingga jam 9.30 pagi. Slot berikutnya telah disambung oleh Pn Siti Fatimah Noor. Beliau telah menerangkan tentang topik 5 dan topik 6. Kemudian, pelajar berhenti rehat selama setengah jam.

Pada pukul 11.00 pagi, Pn. Siti Fatimah Noor telah menyambung slot 1 dengan memberi penerangan topik 7 hingga topik 8. Kemudian, pada pukul 12.00 tengahari, Pn Mahadiah telah mengambil alih slot 2 dengan menerangkan topik 9. Slot 2 berakhir pada pukul 12.30 tengahari dan pelajar dibenarkan rehat untuk makan tengahari.

Slot 2 merupakan slot teknik menjawab soalan kertas 3 atau soalan amali/eksperimen. Slot ini bermula selepas pelajar selesai makan tengahari dan solat zohor. Soalan Kertas 3 bakal membawa markah penuh 50. 33 markah diperuntukkan untuk soalan 1 manakala 17 markah diperuntukkan untuk soalan 2. Oleh itu, tepat jam 2.00 petang, Pn. Mahadiah telah mengambil peranan mengendalikan slot Kertas 3, Soalan 1 diikuti oleh Pn. Siti Fatimah Noor yang memberikan ceramah berkenaan Soalan 2, Kertas 3. Slot 2 tamat pada pukul 4.30 petang dan pelajar dibenarkan turun ke asrama untuk pengurusan diri sehingga pukul 8.30 malam.

Pada pukul 8.30 malam, Pn Mahadiah telah mengendalikan slot 3 untuk Teknik Menjawab Soalan dan Sesi Penilaian. Borang Penilaian telah diagihkan kepada pelajar bersama-sama modul Program.

Konklusinya, Booster Towards A+ Biology Programme telah berjalan dengan lancar dan mencapai objektif dengan jayanya. Ahli-ahli panel telah memberi komitmen yang jitu ke arah menjayakan program ini. Maka, dengan berjayanya bengkel Booster Towards A+ Biology Programme ini, diharap dapat membawa seribu makna dan harapan untuk Panitia Biologi terus mengorak kecemerlangan. Semoga Panitia Biologi terus cemerlang seiring dengan visi dan misi kecemerlangan SM Sains Seri Puteri.

Laporan oleh Pn Noor Arifah ~ TQ









Thumbs up !

No comments:

Post a Comment